Kajian Tempatan
(DPM Semester 4)
Nota Ringkas Bahagian I


Kegiatan Ekonomi Malaysia

(a) Pengenalan Kegiatan Ekonomi Utama

Aktiviti ekonomi Malaysia terdiri daripada berbagai-bagai sektor. Sektor-sektor tersebut boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu sektor pertama, sektor kedua dan sektot ketiga. Pembahagian sektor ini adalah berdasarkan kepada bentuk aktiviti yang terlibat.

Sektor pertanian, perikanan, penternakan, perhutanan dan perlombongan adalah terletak dalam kategori sektor pertama kerana ia melibatkan aktiviti ekonomi di peringkat awal di mana ia tidak atau kurang melibatkan aktiviti pemerosesan.

Sektor kedua adalah sektor yang melibatkan aktiviti ekonomi yang kebanyakannya merupakan lanjutan daripada sektor pertama. Ia lebih bersifat pemerosesan. Dua aktiviti ekonomi yang tergolong dalam sektor ini ialah aktiviti pembuatan (perkilangan) dan pembinaan.

Sektor ketiga adalah sektor yang terlibat dengan aktiviti perkhidmatan, seperti pengangkutan, penyimpanan, perhubungan, kuasa elektrik, gas dan air, perdagangan borong, runcit, hotel dan restoran, kewangan, insurans, hartanah, perkhidmatan perniagaan, perkhidmatan kerajaan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain.

Berdasarkan pembahagian di atas bolehlah dikatakan bahawa sektor pertama adalah sektor yang mewarisi sektor tradisional, manakala sektor kedua dan ketiga pula adalah sektor moden. Dengan kata lain perkembangan aliran ekonomi Malaysia adalah berasaskan ekonomi dualisme (tradisional dan moden). Sumbangan ketiga-tiga sektor di atas kepada ekonomi negara semakin meningkat.

Walaupun begitu kepentingan dan kepesatan setiap satunya mungkin berubah-ubah mengikut perkembangan masa. Pada tahun 1970-an, sektor pertanian dan perlombongan menjadi penyumbang utama eksport Malaysia, tetapi pada tahun 1990-an, sektor perkilangan pula memberi sumbangan yang utama kepada eksport Malaysia

Dalam keadaan negara kita yang berusaha menuju ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020, sudah pasti kepesatan perkembangan sektor kedua dan ketiga akan mengatasi sektor pertama. Namun begitu kesemua sektor ekonomi adalah penting dan setiap satunya saling membantu serta menjadi pelengkap antara satu sama lain.

(b) Kepentingan dan Sumbangan Kegiatan Ekonomi Kepada Negara

Pendapatan Negara
Tahun
Sektor Pertama
Sektor Kedua
Sektor Ketiga
1960
43.7
41.8
15.2
1965
40.5
44.8
14.7
1970
37.2
43.4
19.4
1975
32.3
46.0
21.8
1980
32.8
41.0
26.2
1985
31.3
44.6
24.1
1990
28.0
42.0
31.0
 Jadual 1: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut sektor 1960 - 1990 (%)

Pekerjaan

 Tahun
Sektor Pertama
Sektor Kedua
Sektor Ketiga
1960
61.3
28.9
9.8
1965
54.6
33.5
11.9
1970
49.8
35.1
15.1
1975
47.4
34.3
18.3
1980
41.4
37.3
21.3
1985
32.1
41.4
26.5
1990
28.0
46.0
26.0
 Jadual 2: Guna Tenaga Mengikut Sektor 1960 - 1990 (%)

Pembangunan

Kepentingan dan sumbangan kegiatan ekonomi terhadap pembangunan negara boleh dilihat daripada dua aspek iaitu:

(1) Kegiatan Ekonomi Sektor Desa

Menambah pendapatan penduduk desa dan pendapatan negara

Penduduk desa memperolehi pendapatan tambahan melalui kegiatan ekonomi desa seperti menjual cenderamata, kain batik, makanan ringan, dan lain-lain. Hasil daripada kegiatan ini dapat meningkatkan pendapatan penduduk desa dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara.

Mengekalkan nilai-nilai seni tradisi dan kebudayaan yang diwarisi sejak zaman berzaman

Sektor desa dapat menyumbang khazanah seni agar tidak pupus ditelan zaman. Di samping itu keris dan barang-barang keluaran logam dapat digunakan untuk keperluan semasa. Menambah peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran.

Sektor desa telah dipelbagaikan dan tidak hanya tertumpu kepada sektor pertanian semata-mata.

Oleh itu sektor ini telah banyak membuka peluang pekerjaan kepada penduduk desa seperti peluang berniaga, mengusahakan chalet, dan lain-lain kegiatan. Secara tidak langsung, kadar pengangguran penduduk desa dapat dikurangkan.

Membentuk masyarakat perniagaan

Pada masa lampau, masyarakat desa kurang mendapat peluang untuk berniaga. Dengan adanya perusahan kecil, masyarakat desa mendapat peluang untuk berniaga dan usahawan-usahawan muda dapat diwujudkan, seperti mengusahakan batik dan songkit.

Mengurangkan kadar kemiskinan penduduk desa

Kadar kemiskinan penduduk desa dapat dikurangkan ekoran daripada pertambahan pendapatan penduduk desa. Contohnya; pendapatan purata sebulan isi rumah telah meningkat dari RM200 pada tahun 1970 kepada RM800 pada tahun 1987.

Mengurangkan pengimportan bahan makanan

Bahan makanan seperti beras, ikan, dan daging yang dikeluarkan oleh sektor desa dapat mengatasi masalah kekurangan makanan. Hal ini dapat mengurangkan pengimportan bahan makanan dari luar negeri, secara tidak langsung pengaliran mata wang ke luar dapat dikurangkan.

Menyediakan bahan mentah kepada industri-industri lain

Penglibatan sektor desa dalam perindustrian dapat menyediakan bahan mentah untuk kegunaan industri-industri lain Contohnya nenas yang diusahakan oleh industri desa dapat dijadikan bahan mentah bagi industri mengetin nenas.

Dapat meningkatkan taraf hidup penduduk desa

Sektor industri desa dapat meningkatkan taraf hidup penduduk desa daripada serba kekurangan kepada kehidupan yang lebih sempurna.

(2) Kegiatan Ekonomi Sektor Bandar

Sebagai pusat kewangan

Peranan yang dimainkan oleh sektor kewangan di pusat bandar telah menjadikan bandar sebagai pusat kewangan yang akan dapat membantu proses pembangunan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana perkhidmatan yang disediakan oleh sektor kewangan, seperti pinjaman dan overdraf, penggunaan cek dalam pembayaran, dan mendiskaunkan bil dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebagai pusat perkhidmatan

Sektor perkhidmatan menawarkan pelbagai perkhidmatan, seperti perkhidmatan peribadi dan perkhidmatan pengurusan. Perkhidmatan ini dapat mempercepatkan proses pembangunan ekonomi negara.

Sebagai pusat sosial dan kebudayaan

Tempat-tempat pelancungan, hiburan, pusat membeli-belah, dan taman-taman rekreasi banyak terdapat di bandar-bandar. Oleh itu bandar juga memainkan peranan sebagai pusat sosial dan kebudayaan.

Sebagai pusat pentadbiran, ekonomi, dan perhubungan

Kegiatan ekonomi bandar yang pesat, menyebabkan bandar menjadi pusat pentadbiran ekonomi, dan perhubungan yang penting di negara ini.

Penyediaan kemudahan infrastruktur

Perkembangan ekonomi di bandar menyebabkan penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dilaksanakan. Kemudah infrastruktur yang baik ini dapat menggalakkan pelaburan asing dan dapat menambah pendapatan negara serta mempercepatkan pembangunan ekonomi negara.

Meningkatkan taraf hidup rakyat

Kegiatan ekonomi bandar yang pesat membolehkan penduduk bandar memperoleh sumber pendapatan yang tinggi yang dapat meningkatkan taraf hidup.

(c) Perubahan Struktur Ekonomi Malaysia dan Implikasinya

(1) Corak Perubahan Struktur Ekonomi

Sebelum mencapai kemerdekaan, ekonomi Malaysia adalah berasaskan pertanian. Pihak penjajah telah menjadikan negara kita sebagai negara pengeluar bahan mentah. Oleh itu kegiatan penanaman getah dan perlombongan bijih timah telah diberi penekanan semasa penjajahan British. Dengan kata lain, pihak pihak penjajah telah menjadikan negara kita sebagai pengeluar bahan mentah untuk perusahaan di negara mereka dan pasaran bagi barang-barang yang dihasilkan oleh industri negara mereka.

Selepas merdeka, kerajaan telah menyedari bahawa pembangunan negara melalui pembangunan sektor pertanian adalah tidak mencukupi. Dengan demikian kerajaan telah menyusun semula dasar-dasar untuk mempelbagaikan ekonomi negara. Kegiatan pertanian telah dipelbagaikan dengan penanaman koko, lada hitam, kelapa sawit, dan sebagainya. Kegiatan perlombongan pula telah diperkembangkan kepada bidang yang lebih luas, misalnya, petrolium dan gas asli.

Antara tahun 1959 hingga 1963, kerajaan telah menggalakkan penghasilan barang-barang penggantian import. Tujuan kerajaan mengamalkan dasar ini ialah untuk mengurangkan pergantungan kepada barang-barang import. Barang-barang penggantian import telah menyumbangkan 41% daripada pertumbuhan output industri. Bagaimanapun strategi ini telah berubah pada tahun 1970-an. Tumpuan telah diberikan kepada kegiatan-kegiatan ekonomi yang berorientasikan eksport. Galakan dan khidmat nasihat telah diberikan kepada pengusaha-pengusaha tempatan untuk menambah hasil keluaran supaya hasil yang berlebihan dapat dieksport.

Oleh itu langkah-langkah telah dilaksanakan untuk membangunkan sektor perindustrian. Matlamat pembangunan perindustrian pada tahun 1970-an adalah untuk:

Menjelang tahun 1980-an, kerajaan telah memberi perhatian kepada pembangunan perindustrian berat. Kerajaan telah merangka beberapa dasar seperto Pelan Induk Perindustrian dan Dasar Industri Berat untuk mewujudkan negara yang bercorak industri. Oleh itu industri-industri berat seperti industri membuat kereta, industri besi dan keluli, industri membuat simen dan lain-lain telah dimulakan di negara ini. Walau bagaimanapun, sektor pertanian dan perlombongan tetap diberi perhatian oleh kerajaan. Hal ini demikian kerana sektor pertanian dan sektor perindustrian sama-sama memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara. Kini Wawasan 2020 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri telah memforkuskan Malaysia ke arah negara maju.

(2) Faktor-faktor Yang Mendorong Perubahan Struktur Ekonomi

Ketidakstabilan Harga Hasil Keluaran Sektor Pertama

Sektor pertama sering mengalami turun naik harga yang ketara di pasaran dunia. Kejatuhan harga yang mendadak akan menyebabkan sektor ini kurang produktif.

Ketidakmampuan Sektor Pertama Untuk Mencapai Pembangunan Negara

Kebimbangan timbul terhadap keupayaan perancangan sektor pertama bagi mencapai kadar pertumbuhan dan taraf pembangunan yang dikehendaki. Kadar penyerapan guna tenaga adalah rendah dalam sektor pertama. Pengangguran sering berlaku dalam sektor ini.

Usaha Mempelbagaikan Ekonomi Negara

Usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi negara telah menyebabkan perubahan dalam struktur ekonomi negara. Kerajaan telah memberikan berbagai-bagai galakan kepada industri-industri yang mengeluarkan barang-barang penggantian import. Selain itu, tanaman-tanaman yang mempunyai potensi yang baik telah diperkenalkan juga, seperti kelapa sawit, koko dan lada hitam.

Peningkatan Pendapatan dan Taraf Hidup Penduduk Tempatan

Peningkatan pendapatan penduduk menyebabkan bertambahnya permintaan terhadap perkhidmatan seperti perkhidmatan kewangan, insurans, pengangkutan, dan perhotelan. Hal ini telah membawa kepada perkembangan sektor peringkat ketiga.

(3) Implikasi Perubahan Struktur Ekonomi

Menambahkan Peluang Pekerjaan

Perubahan struktur ekonomi daripada sekto pertanian kepada sektor perkilangan telah banyak mewujudkan peluang pekerjaan yang baru. Sektor perkilangan telah menjadi penyumbang yang utama dalam jumlah guna tenaga di Malaysia.

Meningkatkan Keluaran Negara

Sektor perkilangan mendatangkan pendapatan yang tinggi kepada kerajaan. Eksport hasil keluaran sektor perkilangan telah meningkat dari tahun ke tahun. Peningkatan ini telah memberikan sumbangan yang besar kepada keluaran negara.

Mengurangkan Kadar Kemiskinan

Pembangunan ekonomi yang pesat akibat daripada perubahan struktur ekonomi telah mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk. Hal ini demikian kerana pembangunan ekonomi telah banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ekoran daripada itu, pendapatan penduduk bertambah dan taraf hidup meningkat.

Dapat Mengatasi Masalah Kejatuhan Harga Komoditi

Langkah kerajaan mempelbagaikan ekonomi telah meningkatkan jenis-jenis barang yang dieksport. Hal ini dapat mengatasi masalah kejatuhan harga komoditi kerana kejatuhan harga sesuatu komoditi akan dapat diganti dengan komoditi yang lain.

Peningkatan Penghijrahan Penduduk Desa Ke Bandar

Perkembangan sektor kedua telah banyak menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk di bandar-bandar. Hal ini telah menarik ramai belia berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.

(d) Masalah Pergantungan Ekonomi Kepada Sektor Pertama

Ketidaksetabilan Harga Komoditi

Biasanya harga komoditi asas sering tidak stabil dan tidak menetu di pasaran dunia. Oleh hal yang demikian pergantungan ekonomi kepada sektor pertama akan memberi kesan yang tidak baik terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Pendapatan negara akan terjejas akibat harga komoditi yang tidak stabil. Kemelesetan ekonomi yang Malaysia alami pada tahun 1995 adalah disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi.

Kerugian Perdagangan

Kerugian perdagangan ini berlaku kerana barangan yang dieksport adalah lebih murah berbanding dengan barangan yang dimport yang lebih mahal. Akibatnya kita terpaksa mengeksport barangan keluaran sektor pertanian dengam lebih banyak bagi mengimport barangan perkilangan yang sedikit. Keadaan ini akan merugikan negara yang bergantung kepada keluaran sektor pertama.

Menjejaskan peluang peluang perniagaan dan pendapatan

Ketidaksetabilan ekonomi dunia akan menjejaskan ekonomi negara yang bergantung kepada keluaran sektor pertama dan memberi kesan kepada peluang pekerjaan. Apabila terjadi kejatuhan harga barang-barang utama, maka pendapatan penduduk dalam sektor ini akan terjejas. Selain daripada itu kejatuhan harga yang teruk menyebabkan banyak orang yang hilang pekerjaan. Hal ini demikian kerana firma yang ingin meminimumkan kos operasi akan bertindak mengurangkan bilangan pekerjanya akibat kejatuhan harga tersebut.

Masalah kepupusan sumber

Sektor utama akan mengalami kepupusan sumber jika diteroka secara berterusan.

Keupayaan menyerap tenaga buruh adalah terbatas.

Oleh kerana daya pengeluaran dan peluang pekerjaan di sektor pertama biasanya rendah, maka sudah tentu keupayaan sektor ini menyerap tenaga buruh adalah terbatas.


TUGASAN I

Jawab semua soalan.

 Soalan 1

(a) Terangkan faktor-faktor yang mendorong perubahan struktur ekonomi Malaysia.

(b) Apakah kesan-kesan perubahan struktur ekonomi Malaysia?

 

Soalan 2

(a) Huraikan sektor ekonomi Malaysia secara ringkas.

(b) Apakah masalah-masalah pergantungan ekonomi kepada sektor pertama.


Dapatkan Laporan Ekonomi Terkini daripada Bahagian Analisi Ekonomi & Antarabangsa
Perbendaharaan Malaysia
 
BACK