Make your own free website on Tripod.com
Laman Hasil Karya
Sumbangan saudara/saudari pensyarah amat diperlukan. Sila e-mail kepada: a_hamid@tm.net.my

Tajuk-tajuk karya pensyarah-pensyarah Unit Perdagangan:

Pendidikan Bertaraf Dunia, Abd Hamid Ahmad.
Masalah Kemiskinan, Chik Lat.
Tanggungjawab Sosial Perniagaan, Abd Hamid Ahmad.
Pembelajaran Koperatif, Abd Hamid Ahmad.
MS ISO 9000 Di Sektor Awam, Abd Hamid Ahmad.
Memaksimumkan Penggunaan Otak, Abdullah Ariffin.
Mengapa Pengguna Perlu Dilindungi? Azizan Saleh.
Ledakkan Teknologi Maklumat, Abd Hamid Ahmad.
Analisis Titik Pulang Modal: Satu Alat, Abd Hamid Ahmad.
Teknologi Maklumat Sebagai Sumber Kekuatan Ummah, Abd Hamid Ahmad.
Jaringan Maklumat Tanpa Sempadan, Abd Hamid Ahmad.


Pendidikan Bertaraf Dunia
Oleh: Abd Hamid Bin Ahmad
(Unit Perdagangan)

Antara matlamat Kementerian Pendidikan adalah untuk menjadikan pendidikan di negara ini "bertaraf dunia". Ini merupakan
satu reformasi bagi menghadapi alaf baru. Reformasi pendidikan ini amat perlu disegerakan kerana segala perubahan yang
berlaku amat pantas terutamanya di dalam era teknologi maklumat.

Kementerian Pendidikan kini telah banyak melaksanakan perubahan. Segala dasar dan perubahan yang diperkenalkan menuntut
seluruh kaum pendidik memahami, menghayati dan melaksanakanya dengan sebaik mungkin. Ini bermakna di bahu kaum
pendidiklah dipertanggunjawabkan tugas berat bagi merelisasikan segala perubahan yang di bawa.

Persoalan sekarang ialah mengapa kita perlu menjadikan pendidikan Malaysia bertaraf dunia? Apakah selama ini taraf
pendidikan kita cukup berkualiti bagi mencapai taraf dunia? Apakah pula kreteria-kreteria kualiti dan penentu-penentu lain yang
diperlukan dalam sistem pendidikan untuk menjadikannya bertaraf dunia?

Langkah permulaan kerajaan bagi menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia ialah dengan menubuhkan Universiti Islam
Antarabangsa dan menggalakkan penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi swasta dari luar negara atau dalam negara. Pada
tahun lepas Parlimen Malaysia telah meluluskan Akta Pendidikan Tinggi Swasta bagi memastikan pihak swasta mewujudkan
pusat-pusat pengajian tinggi. Ianya bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat negara ini dan rakyat asing
melanjutkan pelajaran di negara ini.

Kehadiran ramai pelajar dari negara-negara asing di UIA merupakan satu petanda awal bahawa kita berupaya mewujudkan
pusat kecemerlangan ilmu di peringkat serantau mahupun di peringkat antarabangsa. Sekali gus hal ini diharap dapat
meningkatkan aliran kemasukan wang ke dalam negara dan dapat membaiki imbangan pembayaran negara.

Bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan institusi pengajian tinggi kerajaan juga sedang giat menjalankan kajian bagi
menswastakan beberapa institusi pengajian tinggi sedia ada. Melalui konsep penswastaan adalah diharapkan institusi pengajian
tinggi swasta dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan dan mempertahankan kualiti pengajian tinggi. Keupayaan pihak
swasta, terutamanya dari negara-negara tertentu dalam bidang pendidikan berkualiti tinggi, sudah lama terbukti.

Penggubalan Akata Lembaga Akreditasi Negara 1996 (LAN), bagi mengadakan peruntukan-peruntukan khusus untuk
menentukan piawaian dan kualiti kursus-kursus pengajian yang dijalankan di institusi-institusi pengajian tinggi swasta dan awam
adalah satu bukti kesungguhan Kementerian Pendidikan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau
ini.

Kerajaan juga berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan kualiti MS ISO 9000 dalam sektor Perkhidmatan Awam. MS ISO
9000 adalah satu standard sistem pengurusan berkualiti, yang merupakan satu panduan kepada organisasi untuk meningkatkan
proses kerja. Sektor pendidikan juga boleh memperolehi pengiktirafan ini, bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan
kepada pelanggan adalah sentiasa tinggi.

Selain daripada institusi pengajian tinggi, semua peringkat pendidikan di seluruh negara, sudah sampai masanya memastikan satu
tahap kualiti yang sewajarnya dilaksanakan. Hal ini terbukti apabila sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah
pertama di Negeri Perlis telah berjaya memperolehi sijil pengiktirafan MS ISO 9002. Ini membuktikan bahawa sektor
perkhidmatan pendidikan juga berkeupayaan meningkatkan kualiti sistem pengurusan dan proses kerja mereka.

Adalah dirasakan bahawa kepastian tahap kualiti yang tinggi di peringkat persekolahan rendah dan menengah merupakan
penentu kesinambungan tahap kualiti yang ingin dicapai di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini. Perkara ini penting ke
arah memertabatkan sistem pendidikan negara supaya bertaraf dunia.

Oleh hal yang demikian seluruh kaum pendidik hendaklah merobah pandangan dan persepsi mereka terhadap
perubahan-perubahan yang berlaku. Mereka juga perlu mempunyai pandangan, visi, wawasan dan keterampilan bagi
menghadapi cabaran alaf akan datang. Oleh yang demikian kaum pendidik wajarlah mempunyai ciri-ciri kecemerlangan dan
melakukan anjakkan paradigma bagi membolehkan mereka diiktiraf, sekali gus menjadikan kualiti pendidikan negara bertaraf
dunia.

Bibliografi

Abu Bakar Nordin, 1994. Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran 2020, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.

Chek Mat, 1996. Pengurusan Berkualiti Dalam Perkhidmatan, Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Tajul Ariffin Bin Nordin, 1992. Pendidikan Dan Wawasan 2020, Arina Ilmu Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, 1993. Wawasan Pendidikan Agenda Pengisian, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.

Ke Atas


Masalah Kemiskinan
Oleh: Chik Lat
(Unit Perdagangan)

Salah satu masalah pokok ekonomi di dunia ketiga hari ini ialah masalah kemiskinan yang sentiasa wujud bersama-sama
manusia di sepanjang sejarah kehidupan mereka. Namun manusia sendiri tidak dapat merasai tekanan kesusahan akibat
kemiskinan itu kecuali secara beransur-ansur dengan cara bertambahnya keperluan yang hendak dicapainya mengikut kadar
perkembangan dan kemajuan hidup. Oleh itu manusia pada zaman dahulu walaupun mempunyai sumber pendapatan yang
sedikit, tidak merasai kesusahan akibat tekanan kemiskinan kerana keperluannya yang begitu kecil dan juga kerana
pengetahuannya yang sangat sempit.

Oleh itu masalah kemiskinan adalah satu masalah yang relatif serta berbeza mengikut keadaan masa dan tempat. Memang tidak
diragukan bahawa seseorang yang miskin pada zaman ini dipandang sebagai orang kaya pada zaman lampau.  Demikian jugalah
seseorang yang sederhana taraf hidupnya di Mesir atau India dipandang sebagai seorang yang miskin berbanding dengan
seorang yang sederhana taraf hidupnya di Amerika atau pun Perancis.

Masalah kemiskinan telah sampai ke kemuncaknya secara perlahan-lahan pada zaman kita sekarang. Hal ini berlaku kerana
kemudahan perhubungan di antara sesama manusia dan lahirnya ciptaan-ciptaan baru serta bertambahnya kesedaran sosial.
Jesteru itu petani di desa yang mempunyai taraf ekonomi yang tertutup tidak dapat merasakan kemiskinan hidupnya kecuali
sesudah ia mengadakan hubungan dengan keadaan di bandar. Umpamanya masyarakat Yaman sebelum wujudnya hubungan
terbukanya dengan dunia luar iaitu dalam era kehidupan secara terpencil daripada masyarakat dunia, mereka tidak dapat
merasakan keadaan kemiskinan dan kemundurannya.

Sebenarnya masalah kemiskinan bukanlah terletak pada keadaan tidak berupaya dan lapar atau kekurangan sumber
pendapatan tatapi sebenarnya terletak pada wujudnya perbezaan yang berlebihan daripada segi kekayaan dan pendapatan
sama ada di antara individu dengan individu lain di peringkat masyarakat setempat, ataupun di antara negara dengan negara lain
di peringkat antarabangsa. Dengan demikian, kemiskinan bukanlah bererti tidak mampu langsung memenuhi secara mudah dan
sederhana tahap keperluan asasi, tetapi tidak seimbangnya kehidupan dengan taraf yang wujud dalam masyarakat itu.
Seseorang (atau sebuah negara) yang miskin ialah sesorang (atau sesebuah negara) yang hidup dalam suatu taraf yang
dipisahkan oleh jurang yang dalam dengan taraf kehidupan yang dihayati oleh masyarakat setempat atau antarabangsa.

Kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa masalah kemiskinan wujud akibat ketidakseimbangan pengagihan kekayaan dan
pendapatan di antara individu. masyarakat atau negara. Dengan kata lain, masalah ini merupakan masalah umat manusia yang
susunan ekonominya tidak betul.

Ke Atas


Tanggungjawab Sosial Perniagaan
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)

Pengenalan

Badan-badan perniagaan dan badan-badan korporat yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang beroperasi di
persekitaran yang menyokong dan membantu kemajuan perniagaan. Sokongan padu pekerja, pelanggan, orang ramai,
masyarakat dan kerajaan terhadap perkembangan dan kemajuan badan-badan berkenaan merupakan faktor kritikal. Tanpa
sokongan kerajaan dan persekitaran politik yang memberangsangkan tidak mungkin pertumbuhan dan kemajuan perniagaan
boleh dicapai seperti yang dialami pada masa kini.

Oleh hal yang demikian badan perniagaan dan badan korporat di negara kita perlulah melihat ke belakan dan menyedari hakikat
bahawa tanpa sokongan dan kerjasama kerajaan serta masyarak di sekitar mereka, mungkin mereka tidak akan berjaya.
Sebagai menghargai jasa kerajaan dan masyarakat, mereka perlulah melihat kembali apakah peranan atau tanggungjawab sosial
yang boleh dilaksanakan terhadap masayarak.

Tanggungjawab Sosial

Tanggungjawab sosial adalah merupakan tanggungjawab moral yang perlu dipikul oleh perniagaan terhadap kepentingan
masyarakat di mana perniagaan tersebut menjalankan operasinya. Tanggungjawab dan kewajipan ini meliputi badan-badan
korporat terhadap masyarak yang lebih menyeluruh dan tidak hanya terhad kepada peruntukan undang-undang atau
kontrak-kontrak lain di antara pengurusan dengan wakil persatuan-persatuan sekerja.

Sebenarnya sesebuah perniagaan mempunyai kewajipan ke atas beberapa kumpulan anggota masyarakat antaranya ialah
pemegang-pemegang saham (pemilik perniagaan), pelanggan-pelanggan dan pengguna, pesaing-pesaing, pekerja-pekerja dan
staf, pemiutang-pemiutang, masyarakat tempatan dan kerajaan.

Kenapa Tanggungjawab Sosial

Antara sebab-sebab kenapa perniagaan perlu memahami peranan atau tanggungjawab sosial ialah:

Kesimpulan

Badan-badan perniagaan dan badan-badan korporat yang memahai dan dapat melaksanakan tanggungjawab sosial, pasti
berupaya mewujukan imej positif di kalangan masyarakat. Imej positif inilah akan membantu mereka meraih kekayaan hasil
daripada keuntungan perniagaan yang meningkat berlipat kali ganda. Dengan hasil keuntungan yang diperolehi, pasti
badan-badan perniagaan mampu memperuntukkan sebahagian kecil daripadanya untuk disalurkan bagi melaksanakan
tanggungjawab sosial.

Tanpa sokongan masyarakat, persekitaran perniagaan yang sesuai dan dasar-dasar kerajaan yang menyokong kemajuan
perniagaan, pastinya kepesatan kemajuan perniagaan tidak dapat dinikmati. Oleh itu sedikit pengorbanan yang dilakukan bagi
melaksanakan tanggungjawab sosial akan dapat membalas jasa-jasa masyarakat dan kerajaan yang selama ini telah banyak
membantu dan menyokong perniagaan berkembang.

Bibliograf

Dr Wan Mohamad Ghazali Wan Abdullah, 1989, Pemasaran, Biroteks ITM, Shah Alam, Selangor.

KOTLER, Philip, 1970. Marketing Management, Prentice-Hall, New Delhi.

KOTLER, Philip, 1986, Principles of Marketing, Prentice-Hall, New Delhi.

McCARTY, E JEROME, 1978, Basic Marketing, Richird D. Irwing, Inc.Homewood,  Illinois.

Ke Atas


Pembelajaran Koperatif
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)

Pelbagai pendekatan, teknik dan kaedah pengajaran perlu dipelajari dan dikuasai oleh guru-guru, terutamanya guru-guru pelatih
yang menjalani latihan perguruan di institusi latihan perguruan. Penguasaan berbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran
penting bagi membolehkan mereka menjadi seorang pendidik yang berkebolehan dan berketerampilan dalam melaksanakan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran adalah menjadi satu perkara penting dalam usaha
meningkatkan keberkesanan pengajaran. Salah satu daripada kaedah pengajaran yang boleh digunakan oleh guru ialah
Pembelajaran Koperatif (Cooperative Learning). Esei ringkas ini akan membincangkan tajuk di atas, untuk dimanfaatkan oleh
guru-guru.

Pembelajaran Koperatif ialah satu instrumen yang melibatkan pelajar bekerja atau belajar dalam satu pasukan ke arah mencapai
sesuatu matlamat, dengan kondisi-kondisi tertentu. Antaranya ialah:
 

Sesuatu pembelajaran hanya boleh dipanggi pembelajaran koperatif jika ianya melibatkan atau memenuhi kondisi-kondisi di
atas. Pembelajaran ini boleh berlaku sama ada di dalam bilik darjah atau diluar bilik darjah bagi jangka masa beberapa minit
atau seluruh masa pengajaran berkenaan melibatkan aktiviti menjawab atau membinal soalan-soalan, menerang, memerhati,
menyelesaikan masalah, membuat rumusan, dan sebagainya.

Pembelajaran koperatif adalah satu kaedah pengajaran yang melibatkan perbincangan murid-murid dalam pasukan/kumpulan
tertentu. Perbincangan melalui kaedah ini adalah berbeza daripada kaedah perbincangan biasa. Bilangan pelajar di dalam setiap
kumpulan tidak boleh terlalu ramai dan tidak juga terlalu kecil. Bilangan yang dikatakan sesuai ialah antara tiga hingga lima
orang.

Sebelum kaedah ini dilaksanakan guru haruslah menyediakan bahan pembelajaran yang mencukupi untuk dibincang atau
diselsaikan. Jika terdapat empat pasukan dengan empat orang ahli setiap pasukan dibentuk, ini bermakna guru mesti
menyediakan empat bahan yang berlainan.

Setiap pasukan diberi identiti katakan A, B, C dan D.  Setiap ahli dalam setiap pasukan juga diberi nombor katakan 1, 2, 3 dan
4. Setelah proses itu selesai pasukan baru akan dibentuk yang ahlinya terdiri daripada (A1,B1,C1,D1), (A2,B2,C2,D2),
(A3,B3,C3.D3) dan (A4,B4,C4,D4). Setiap pasukan baru inilah akan diberi satu bahn untuk dibincang atau diselesaikan.
Setiap orang dalam setiap pasukan dikehendaki memahami dan menguasai segala permasalahan dan penyelesaiannya dengan
bersungguh-sungguh sebab mereka betanggungjawab pula menerangkannya kepada ahli-ahli lain di dalam pasukan asal mereka.

Setelah selesai perbincangan atau penyelesaian masalah dalam pasukan tadi, setiap pasukan dikehendaki membuat
pembentangan di mana salah seorang ahli pasukan akan melaksanakannya. Hasil pembentangan ini akan mengukuhkan lagi apa
yang di bincangkan dalam pasukan sebelum ini. Selesai sesuatu pembentangan, digalakkan interaksi, soal jawab atau
perbincangan antara pasukan mahupun antara pelajar berlaku.

Kaedah pembelajaran ini dikatakan lebih baik daripada kaedah pembelajaran tradisional kerana ianya lebih menyeronokkan
dan dapat juga meningkatkan motivasi, akauntabiliti, tanggungjawab dan kesungguhan pelajar dalam melaksanakan sesuatu
tugasan yang diberi. Pelajar juga berasa lebih bertanggungjawab kerana mereka mempunyai matlamat pasukan yang hendak
dicapai bersama. Ia juga di katakan dapat menjimatkan masa proses pembelajaran pelajar dan juga masa guru kerana guru
tidak perlu menerangkan semua isi pelajaran sebagai mana yang dilakukan dengan kaedah pengajaran tradisional.

Pembelajaran koperatif ini amat sesuai diamalkan, kerana ianya memenuhi kehendak-kehendak dan amalan pengajaran dan
pembelajaran KBSR dan KBSM. Guru hanya berperanan menyediakan bahan-bahan pembelajaran yang sesuai dan bertindak
sebagai fasilitator dalam proses pembelajaran. Pembelajaran koperatif adalah lebih berpusatkan pelajar.

Ke Atas


MS ISO 9000 Di Sektor Awam
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)

Sektor swasta dan awam di negara kita sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan sijil pengiktirafan MS ISO 9000. Hakikat
ini ternyata benar kerana bagi sektor industri, pengiktirafan ini penting untuk membolehkan produk keluaran mereka dieksport
ke negara-negara Eropah tetentu, telah mensyaratkan syarikat-syarikat pengelur berkenaan mempunyai pengiktirafan MS ISO
9000. Dengan kata lain pengiktirafan MS ISO 9000 adalah penting kepada syarikat-syarikat swasta bagi menentukan servival
operasi mereka pada masaha hadapan.

Bagi sektor awam pula, pengiktirafan ini penting sebagai menandakan pengurusan mereka adalah berkualiti dan sentiasa
memenuhi kehendak pelanggan seperti yang dijanjikan di dalam piagam pelanggan masing-masing. Kesungguhan sektor awam
dalam usaha memperolehi sijil pengiktirafan MS ISO 9000 memang perlu dipuji dan patut diberi sokongan yang sewajarnya.
Beberapa agensi kerajaan termasuk sekolah-sekolah telah memperolehi sijil pengiktirafan tersebut. Selain daripada itu banyak
lagi agensi dan jabatan-jabatan kerajaan sedang bertungkus lumus dalam tempoh terdekat ini untuk mendapat sijil itu.
Moga-moga segala usaha murni dan bersungguh-sungguh mereka akan memperolehi kejayaan.

Antara matlamat agensi kerajaan melaksanakan MS ISO 9000 adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan sebelum mereka
(pelanggan) bersedia membeli produk atau perkhidmatan yang dkeluarkan dan juga merupakan sebagai "blue print" bagi
usaha-usaha penambahbaikan dan peningkatan sistem kualiti dalam organisasi bagi menpertingkatkan kecekapan dan
keberkesanan organisasi berkenaan.

Bagi memastikan semua pihak, terutamanya di dalam Kementerian Pendidikan, memperolehi pengiktirafan ISO 9000, Institut
Aminuddin Baki (IAB) telah dipertanggungjawabkan untuk memberi kefahaman tentang ISO 9000 kepada seluruh warga
kementerian berkenaan. Berbagai ceramah dan bengkel telah dan akan dilaksanakan bagi memastikan semua pegawai dan
kakitangan di bawah Kementerian Pendidikan memahami dan menghayati konsep serta pelaksanaan ISO 9000.Selain daripada
itu INTAN pula diberi tanggung jawab yang sama untuk agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

Antara faedah-faedah pelaksanaan MS ISO 9000 ialah:
 

Antara prinsip dan ciri-ciri MS ISO 900 pula ialah: Komitmen daripada semua pihak, sama ada pihak pengurusan atasan dan bawahan bagi menjayakan sistem kualiti di sektor
awam amatlah penting. Memperolehi pengiktirafan MS ISO 9000 dikatakan lebih mudah daripada mengekalkan atau
mempertahankan pelaksanaan sistem kualiti itu sendiri.

Ke Atas


Memaksimumkan Penggunaan Otak
Oleh: Abdullah bin Ariffin
(Unit Perdagangan)

Anugerah tuhan kepada manusia amat istiemewa. Mereka dijadikan berpasan-pasangan supaya kesinambungi genarasi dapat
diteruskan. Selain daripada itu, hampir semua anggota badan manusia diberi berpasang-pasangan supaya dapat membantu
menjalani penghidupan dengan lebih baik. Sekadar contoh, kita mempunyai mata kiri dan mata kanan, tangan kiri dan tangan
kanan, kaki kiri dan kaki kanan, jantung kiri dan jantung kanan, telinga kiri dan telinga kanan. Supaya taraf kemanusiann kita
dapat dijaga , maka kita dianugerahkan pula akal fikiran yang terletak dalam satu organ bernama otak. Otak kita juga dalam
keadaan berpasangan, otak kira dan otak kanan.

Orang yang dapat menggunakan kemahiran kedua - dua belah tangannya untuk menulis tentunya baik daripada mereka yang
dapat menggunakan kemahiran sebelah tangan. Begitu juga seorang pemain bola sepak yang boleh bermain dengan
menggunakan kemahiran kedua-dua belah kakinya sudah tentu lebih baik daripada pemain yang hanya mempunyai kemahiran
bermain dengan sebelah kaki sahaja. Bagitulah juga dalam penggunaan otak. Untuk manusia menjadi lebih berberkrampilan, dan
seimbang dari aspek rohani dan jasmani , sewajarnyalah ia perlu berkemahiran menggunakan kedua-dua belah otaknya dengan
berkesan semasa berfikir.

Konsep dan teori tentang otak , telah dipelopori oleh Dr. Roger Sperry dan rakan-rakan beliau di California Institut Of
Technology. Mereka telah menjalankan penyelidikan tentang otak manusia melalui eksperimen dengan menjalankan
pembedahan ke atas otak. Melalui proses surgeri mereka telah berjaya mengasingkan hemisfera otak kira dan hemisfera otak
kanan dan seterusnya menguji kemampuan setiap hemisfera berfungsi dalam proses berfikir.Dapatan menunjukkan bahawa
setiap hemisfera otak mempunyai stor memori yang tersendiri dan memainkan peranan yang berlainan dalam proses berkifir.

Hemisfera otak kiri berfungsi mengelola proses-proses pemikiran yang melibatkan logik, penilaian, percakapan dan kemahiran
yang bersifat kuantitatif., sementara hemisfera otak kanan lebih tertumpu kepada mengelola proses-proses pemikiran yang
bersumberkan imaginasi, impian, perasaan, emosi, visualisasi dan intuasi.

Bagaimanakah kedua-dua hemisfera otak kita berfungsi? Katakan kita cuba mengingati nama seorang kawan kita, kita
sebenarnya menggunakan fungsi hemisfera otak kiri sementara apabila kita cuba mengenali raut mukanya kita menggunakan
fungsi hemisfera otak kanan. Hal yang sama berlaku ,jika kita membaca buku bagaimana cara bermain golf, kita menggunakan
fungsi hemisfera otak kiri dan apabila kita mengalami "keseronokan dan kepuasan " bermain golf merupakan fungsi hemisfera
otak kanan. Kedua-dua contoh menerangkan kepada kita bahawa dalam proses berfikir fungsi kedua-dua hemisfera otak kita
seakan-akan memainkan peranan masing-masing dalam satu perkongsian. Hemisfera otak kiri mengelolakan perkara-perkara
logik dan bahasa sementara hemisfera otak kanan pula memproses perkara-perkara imiginasi dan visualisasi, yang sukar
dibentangkan melalui perkataan dan simbol.

HEMISFERA OTAK KIRI HEMISFERA OTAK KANAN

Kita memiliki dua belah kaki yang kita amat mahir untuk berjalan, berlari, melompat . Kita belajar kemahiran menggunakan ke
dua-dua belah kaki sejak detik kita mula belajar berjalan. Keadaan ini sama juga dengan otak kita yang sememangnya
dianugerahkan tuhan sejak kita dilahirkan. Bezanya ialah apabila kita mula menjejak kaki ke alam persekolahan, kognitif kita
telah dijuruskan kearah yang seakan-akan menumpu kepada satu bahagian otak sahaja dan mengabakan bahagian yang satu
lagi. Oleh kerana kreativiti adalah fungsi secara berkongsian hemisfera otak kira dan kanan maka sudah tentu semua manusia
memilikinya. Kesilapan kita ialah kerana melihat kreativiti sebagai anugerah tuhan kepada manusia-manusia tertentu dan
menafikan hak manusia lain dalam aspek ini.

Dalam pendidikan, kurikulum usang kelihatan memberi penekanan kepada penggunaan satu hemisfera otak sahaja dan boleh
dianggap punca " kecatatan " pemikiran generasinya. Sistem pendidikan kita seolah-olah mengajar generasi pelajar kita
kemahiran logik semata-mata. Justeru itu sistem penilaian dalam pendidikan memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap mereka
yang memiliki tahap pemikiran logik yang "tinggi" . Di sebelah tabir realiti penghidupan terbukti ramai yang berjaya dengan
cemerlang dalam penghidupan sebenar walhal semasa di bangku sekolah mereka tidak cemerlang mengikut kayu sistem
pendidikan kita.

Persoalannya ialah, adakah logik semata-mata sebagai teras kurikulum dapat menyelesaikan masalah sebenar dalam kehidupan?
Sistem pendidikan kini cuba mencari jawapan kepada fenomena ini dengan memperkenalkan Kemahiran Berfikir (selepas ini
KBKK) sebagai komponen dalam kurikulum terkini. KBKK sebagai komponen dalam kurikulum bertujuan untuk
membudayakan pelajar-pelajar kita memaksimumkan penggunaan otak.

Terdapat dua dominan dalam KBKK iaitu Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kemahiran Berfikir Secara Kreatif.

Kemampuan minda kita menilai kemunasabahan sesuatu idea , meneliti kebernasan dan menjelaskan sebab-sebab dengan hujah
yang bernas tergolong dalam Kemahiran Berfikir Secara Kritis. Kemahiran Berfikir Secara Kreatif pula merujuk kepada
kemampuan minda kita menerokai kemungkinan-kemungkinan baru dalam membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan
keupayaan menghasilkan ciptaan-ciptaan baru.

Penyampaian KBKK dijalankan secara penyebatian dalam semua atapelajaran. Instrumen-instrumen yang membantu
pengajaran KBKK ialah Pengurusan Grafik, bahan ransangan, soalan-soalan refleksi dan metakognitif.

BIBLIOGRAFI

Ainon dan Abdullah ( 1995 ). Teknik Berfikir : Konsep dan Proses. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.

BPG. ( 1995 ) Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif - Model Pengajaran dan Pembelajaran. Unit Kurikulum, Bahagian
Pendidikan Guru, Kuala Lumpur.

Marzano. R.J. e.t. al ( 1989 ). Dimensions of Thinking: A Framework For Curriculum and Instruction. Elexanderia , VA :
ASCD.

Yong, L. dan Chia Chee Fen ( 1994 ). Pemikiran Kreatif : Penyelesaian Masalah Secara Kreatif, KL : Arena Buku Sdn. Bhd.

Ke Atas


Mengapa Pengguna Perlu Dilindungi?
Oleh: Azizan Saleh
(Unit Perdagangan)

Salah satu sebab mengapa pengguna perlu dilindungi ialah kejahilan pengguna tentang hak-dan tanggungjawab pengguna.
Mengikut satu kajian rambang yang dibuat oleh sekumpulan pelatih di sebuah institusi pengajian hampir 70 % dari warganya
tidak tahu atau kurang arif tentang hak-hak mereka sebagai pengguna. Bagaimana dengan anda ?

Menurut Pertubuhan Kesatuan Pengguna Antarabangsa (IOUC) tedapat tujuh hak asasi pengguna iaitu:

1. Hak untuk mendapat keselamatan

Semua pengguna mempunyai hak untuk dilindungi daripada pemasaran barangan dan penyediaan makanan yang
membahayakan kesihatan diri. Pernahkah anda bertanya diri anda tentang makanan yang anda ambil sesuai atau tidak untuk
anda .Pernahkah barang elektrik anda tiba-tiba meletup atau terbakar ? Pernahkah anak-anak anda membeli makanan jeruk
yang dijual dari negara jiran dan kemudiannya mengadu sakit perut ?. Sebagai pengguna yang bijak anda seharusnya meneliti
semua barang dan perkhidmatan yang disediakan. Jangan hanya bergantung kepada apa yang di perkatakan oleh penjual.
Sekarang ini para pengguna telah didedahkan dengan pelbagai ubat atau selalu disebut makanan kesihatan. Semua pengeluar
menyatakan bahawa produk mereka yang terbaik . Jadi mana satu yang hendak dipilih ? Tidakkah nanti makanan tersebut
boleh mendatangkan kemudaratan kepada kita. Pengguna perlu tahu bahawa semua makanan kesihatan tidak perlu satu sijil
pengesahan dari Pusat Racun Negara kerana ia dikelaskan sebagai makanan bukan ubat.

Pengguna juga perlu sedar ada beberapa akta yang boleh melindungi mereka dari barangan yang tidak berkualiti atau
membahayakan. Akta Racun Makhluk Perosak, Akta Elektrik, Akta Perihal Dagangan dan AktaPemaju-Pemaju Perumahan
adalah antara beberapa akta yang memberi perlindungan kepada pengguna.

( bersambung)

Ke Atas


Ledakkan Teknologi Maklumat
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)

Kemasukan dan perkembangan berbagai bentuk teknologi di dalam sesebuah negara, terutamanya bagi negara-negara sedang
membangun, tidak lagi boleh dihalang. Penglibatan dan penggunaan pelbagai teknologi tersebut sangat penting di dalam
pembinaan dan kemajuan sesebuah negara. Akhir-akhir ini teknologi maklumat juga telah melanda negara ini dengan kadar yang
amat pesat.

Sesungguhnya kerajaan telah mengambil langkah-langkah penting bagi menghadapi kemasukan dan penggunaan teknologi
maklumat. Idea-idea bernas dan pandangan ke hadapan kepimpinan negara, khususnya YAB Perdana Menteri telah banyak
membantu memesatkan kemajuan dan perkembangan teknologi maklumat di negara ini. Ini jelas dengan wujudnya Koridor
Raya Multimedia (MSC) yang akan menyediakan seluas-luas ruang dan infrastruktur kepada perkembangan teknologi
maklumat itu

Komitmen kerajaan dalam hal ini juga dibuktikan apabila YAB Perdana Menteri melancarkan kempen IT bertujuan memberi
kefahaman kepada seluruh rakyat di negara ini tentang teknologi maklumat. Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITA)
diperkenalkan semasa pelancaran kempen IT. NITA memainkan peranan yang penting dalam memahamkan seluruh masyarakat
di negara ini tentang internet, teknologi maklumat dan MSC. NITA juga bertanggungjawab dalam pembangunan tiga elemen
penting iaitu masyarakat, infostruktur dan aplikasi. Ketiga-tiga elemen itu adalah saling berhubungan antara satu sama lain secara
strategik, ke arah mewujudkan masyarakt madani dan berkualiti.

Seterusnya apabila belanjawan bagi tahun 1998 dibentangkan oleh YAB Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, satu insentif
yang memberangsangkan telah diberi kepada setiap keluarga yang membeli sebuah komputer akan diberi pelepasan cukai
melalui rebet berjumlah RM400. Insentif ini pasti akan menggalakkan masyarakat terutamanya yang ingin berjinak-jinak dengan
komputer dan mereka yang telah lama mempunyai pengetahuan luas tentang komputer dan teknologi maklumat memiliki sebuah
komputer baru.

Kementerian Pendidikan juga mempunyai peranan yang amat penting bagi memajukan IT di negara ini. Langkah kemeterian
mewujudkan sekolah-sekolah bestari adalah tepat dan selaras dengan perkembangan IT negara. Anak-anak dan para pelajar
generasi mudalah yang perlu diberi seluas-luas pendedahan dan ilmu pengetahun tentang teknologi maklumat, kerana mereka
akan mewarisi negara ini kelak. Di tangan generasi mudalah segala bentuk budaya IT yang kita ingini diterapkan, agar mereka
tidak terpesong dan tidak mengalami kejutan budaya.

Selain daripada kerajaan pusat, kerajaan-kerajaan negeri juga pasti dapat berperanan menggalakan budaya IT di negeri-negeri.
Hal ini terbukti apabila Kerajaan Kedah telah maju selangkah memastikan rakyat negeri tersebut terutamanya
penduduk-penduduk luar bandar, tidak ketinggalan dalam arus ledakan tekknologi maklumat. Kerajaan negeri khabarnya akan
memastikan setiap masjid di negeri jelapang padi itu mempunyai sebuah komputer multimedia yang boleh dimanfaatkan oleh
seluruh masyarakat di dalam sesebuah kariah masjid. Tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah dan YAB Menteri Besarnya.
Mungkin selepas ini, keraja-kerajan negeri yang lain akan mengambil langkah-langkah yang sama seperti dilakukan oleh
Kerajaan Kedah.

Bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat kita memiliki komputer, saya kira bank-bank, institusi kewangan,
koperasi-koperasi, badan-badan korporat yang berkemampuan dan badan-badan lain boleh meyediakan dana yang
secukupnya untuk diberi sebagai pinjaman kepada ahli-ahli atau orang ramai untuk membeli komputer. Saya juga berpendapat
kerajaan boleh menentukan harag komputer boleh dijual dengan harga yang lebih rendah tetapi tidak menjejaskan keuntugan
yang munasabah kepada pihak-pihak yang mengeluar dan menjual komputer, dengan menurunkan lebih banyak kadar cukai
yang dikenakan ke atas komputer yang diimport.

Dalam hal ini, pihak pengeluar dan penjual komputer juga perlu memainkan pernan mereka agar dapat menjual komputer
dengan harga yang munasabah lagi kompetatif. Pengeluar atau penjual komputer tidak akan mengalami kerugian walaupun
komputer dijual dengan harag yang lebih murah. Hal itu demikian kerana apabila komputer dijual dengan haraga yang lebih
murah, sudah pasti dari segi volume komputer dan eksoseri-eksoseri yang berkaitan akan meningkat jualannya. Peningkatan
volume jualan bererti peningkatan jumlah pendapatan penjual.

Selain daripada aspek teknologi maklumat itu sendiri, yang sangat diperlukan bagi membangunkan negara, agar dapat
sama-sama bersaing dengan negara-negara maju, fokus terhadap aspek komersial juga sangat penting. Pembangunan teknologi
maklumat sudah pasti akan memesatkan dan merancakkan lagi sektor komersial di negara ini keran ianya akan melibatkan
perniagaan yang bernilai amat besar. Dengan itu sudah semestinya hal tersebut akan membantu memesat dan mengukuhkan
kedudukan ekonomi negara dengan syarat komponen-komponen komputer di buat dan dipasarkan di dalam negara dan
selebihnya dieksport ke luar negara. Dengan itu dapat membantu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan aliran keluar
wang negara.

Demikanlan peranan yang boleh dimainkan oleh pihak kerajaan dan sektor swasta dalam arus ledakkan teknologi maklumat.
Inilah yang dikatakan perkongsian pintar kerajaan- swasta dalam membangunkan negara ini, khususnya dalam bidang teknologi
maklumat. Rakyat juga mesti bersedia menerima arus perubahan ini. Oleh itu mereka haruslah diberi pendedahan dan maklumat
secukupnya bagi menghadapi perkara ini. Dengan kata lain rakyat haruslah dibudayakan dengan teknologi maklumat.
Moga-moga segala hasrat murni kerajaan untuk menjadi negara ini sebuah negara maju akan tercapai menjelang 2020.
Inshaallah.

Ke Atas


Analisis Titik Pulang Modal: Satu Alat
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)
 

Pengenalan

Adakah anda seorang usahawan yang hanya menilai kejayaan perniagaan dengan menentukan baki wang yang ada di dalam
akaun bank perniagaan sahaja? Jika ya anda telah melakukan satu kesilapan besar. Salah satu kaedah terbaik megetahui
kedudukan perniagaan anda ialah dengan menentukan kedudukan titik pulang modal, bagi memastikan sama ada perniagaan
anda berada di dalam zon keuntungan atau sebaliknya.

Analisis titik pulang modal sangat penting kepada seseorang usahawan yang sedang atau akan mengusahakan sesuatu
perniagaan . Analisis ini adalah berkaitan dengan perhubungan antara kos tetap, kos berubah, harga, dan unit atau volume bagi
menetukan kombinasi unsur-unsur tersebut, di mana jumlah hasil dan jumlah kos adalah pada tahap yang seimbang.

Pengertian Titik Pulang Modal

Titik pulang modal adalah satu tahap jualan yang mesti dijana untuk mencapai keuntungan sifar dan kerugian sifar. Jika
perniagaan anda gagal memperolehi pendapatan kasar bagi menampung kos operasi, walaupun bagi jangka masa pendek, anda
akan meghadapi kedudukan merbahaya.

Berapa banyak jualan yang mesti dibuat bagi memperolehi tahap pulang modal? Terdapat sesetengah pemilik peniaga atau
usahawan-usahawan kecil tidak mempunyai jawapan kepada persoalan ini. Mereka tidak tahu bagaimana membuat anlisis ini
lantas tidak mempunyai gambaran sejauh mana mereka beroperasi dan tidak tahu kedudukan prestasi perniagaan berkenaan.

Bagi membolehkan analis ini dilaksanakan, seseorang usahawan mestilah dapat membezakan perbelanjaan yang dibuat itu
termasuk di dalam kategori kos tetap dan kos berubah. Berikut dijelaskan tentang kosep kos tetap dan kos berubah.

Kos Tetap

Kos tetap adalah kos yang mesti dibelanjakan di dalam sesebuah perniagaan dan ianya tidak dipengaruhi oleh tahap jualan.
Antara contoh kos tetap ialah sewa, belanja sewaan telefon, gaji tetap pekerja, bayaran kepada pinjaman dan pajakan, dan
lain-lain. Sama ada sesebuah perniagaan itu beroperasi atau tidak kos ini akan tetap terlibat.

Kos Berubah

Kos berubah adalah kos yang sentiasa berubah-ubah berdasarkan tingkat jualan atau pengeluaran. Pada amnya kos ini boleh
dinyatakan sebagai peratusan daripada jualan terutamanya bagi perniagaan yang memberi perkhidmatan dan menjual barangan.

Kos berubah adalah termasuk perbelanjaan yang berubah akibat daripada volumen jualan. Dalam sesebuah firma pengeluaran,
kos bahan-bahan adalah kos berubah. Komponen buruh dalam sesuatu usaha pengeluaran boleh jadi kos berubah atau kos
tetap, bergantung kepada obligasi pekerja-pekera. Dalam kes-kes tertentu, pekerja dibayar berdasarkan jam bekerja (kos
berubah), manakala sesetengah pekerja dibayar gaji bulanan tanpa mengira berapa jam mereka bekerja (kos tetap).

Bagaimana Membuat Analis Titik Pulang Modal

Dua kaedah boleh digunakan bagi membuat analisis titik pulang modal. Pertama dengan menggunkan graf dan yang kedua
dengan menggunakan rumus. Kedua-dua kaedah ini akan menghasilkan jawapan atau kesimpulan yang sama sahaja.

(Kedua-dua kaedah ini akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam esei akan datang).

Seperkara penting sebagai pengetahun kepada para usahawan, mereka mesti menentukan struktur kos dan hasil yang boleh
mendatangkan keuntung kepada perniagaan mereka. Berbagai strategi kos boleh diambil bagi mencapai sesuatu tahap pulang
modal yang diingini. Perubahan kepada kos tetap boleh dibuat bagi merendahkan tahap pulang modal dan pada masa yang
sama boleh juga meningkatkan harga jualan seunit produk. Jika kos tetap tidak dapat dikurangkan alternatif yang tinggal ialah
mengurangkan kos berubah.

Amat penting memahami perhubungan antara harga, kos dan volume serta kesan dinamik yang diperolehi ke atas operasi
sesebuah perniagaan. Ketiga-tiga faktor di atas, jika dapat dikawal dan dikurangkan, akan dapat mengelakkan kita daripada
melakukan kesilapan serious dan sebaliknya dapat menemui peluang-peluang yang signifiken. Oleh itu cabaran kepada pihak
pengurusan ialah bagaimana mereka dapat merekabentuk dan melaksanakan program-program yang penting bagi mencapai
matlamat perniagaan yang dikehendaki.

Kesimpulan

Memahami konsep asas tentang analisis titik pulang modal ini amat penting bagi kejayaan sesebuah perniagaan. Analisis ini
merupakan satu alat yang boleh digunakan oleh usahawan bagi menentukan tahap keluaran atau tingkat jualan yang perlu dibuat
bagi menentukan usaha mereka mencapai titik pulang modal yang dikehendaki. Sama ada anda seorang peniaga atau usahawan
yang baru menceburi diri atau telah lama dalam dunia perniagaan, pengetahuan yang anda perolehi mengenai peniagaan
berhubung dengan analisis ini sangat bermakna dan penting kepada servival jangka masa panjang perniagaan anda.

Ke Atas


Teknologi Maklumat Sebagai Sumber Kekuatan Ummah
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)

Pengenalan

Teknologi maklumat (IT) boleh ditakrifkan sebagai teknologi masa kini yang menyatukan atau menggabungkan pelbagai
maklumat daripada pelbagai data dan sumber untuk dimanfaatkan sebagi ilmu bagi kegunaan seluruh umat manusia melalui
penggunaan pelbagai media dan peralatan telekomunikasi moden.

Dengan menggunakan pelbagai media, peralatan telekomunikasi, komputer dan sebagainya yang canggih, IT akan terus
berkembang dan mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan dan peradaban umat manusia di seluruh dunia.
Sebagai contoh, dengan adanya internet berpuluh-puluh juta komputer peribadi di seluruh dunia dapat dihubungkan
menjadikannya satu rangkainan perhubungan yang amat berguna.

Memanfaat IT sebagai sumber kekuatan ummah

Agama Islam adalah agama yang dinamik dan sentiasa sesuai di setiap masa dan zaman. Islam menuntut umatnya sentiasa
menggunakan kekuatan dan kelebihan akal fikiran dalam melaksanakan segala kegiatan kehidupan sama ada di dunia dan di
akhirat. Umat Islam juga mesti mempunyai kekuatan yang tinggi dalam penggunaan pelbagai teknologi khususnya teknologi
maklumat. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan dari segi akal fikiran, spiritual, dan fizikal. Kesemuanya mestilah sentiasa
seimbang, jika tidak kita akan dirundung kehancuran dan keruntuhan.

Oleh hal yang demikian agama Islam menuntut umatnya mempelajari sesuatu untuk memajukan ummah dan seterusnya
mewujudkan negara yang kuat. Mempelajari sesuatu yang baik dan berfaedah adalah fardhu ain. Semua orang yang
berkemampuan adalah berkewajipan mempelajari sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat dalam pelbagai bidang seperti
pengurusan, pendidikan, kejuruteraan, kedoktoran, teknologi maklumat, dan sebagainya. Mempelajari dan menguasai IT adalah
penting kerana ianya merupakan satu bentuk teknologi yang boleh digunakan bagi membangunkan Islam dan merupakan satu
sumber baru dalam menjana kekuatan ummah.

Dalam menghadapi era teknologi maklumat, umat Islam mestilah mempunyai segala kekuatan dan kesatuan yang jitu, kerana
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah memasukkan pelbagai fitnah, penyelewengan, dan unsur-unsur yang tidak baik
dalam IT. Fitnah yang dimaksudkan itu ialah "fitnah dijital" yang boleh menggugat kehormonian dan kelangsungan hidup umat
Islam di dunia ini. Hanya dengan kekuatan dan kebolehan menguasai teknologi maklumat umat Islam akan dapat menentang
atau mempertahankan diri dari segala macam fitnah dan penyelewengan yang sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu
itu.

Sejauh manakah IT sebagai sumber kekuatan ummah?

Adalah diakui bahawa umat Islam masih di permulaan jalan dalam teknologi maklumat. Ini jelas kerana penggunaan komputer
sebagai contoh masih tidak bagitu popular. Umat Islam masih belum menemui kunci kekuatan IT yang sebenarnya. Di negara
kita, perangkaan menunjukkan, penggunaan internet misalnya, masih ditahap rendah kerana sehingga 1 Oktober 1997 hanya
167,447 orang menjadi pelanggan internet (Majalah Massa, Bilangan 110, 1997).

Walau bagaimanapun kesedaran dan kekuatan mempelajari dan menggunakan komputer khususnya di kalangan anak-anak
muda amat memberangsangkan. Oleh hal yang demikian mereka mesti diberi serta diterapkan dengan etika dan nilai-nilai yang
baik. Penerapan nilai dan etika yang baik berasaskan ajaran Islam ini penting kerana hanya dengan adanya perlindungan
dalaman seumpama itu sahajalah akan dapat mengelakkan keruntuhan nilai dan budaya hidup kita selama ini.

Bagaimana IT boleh membantu perkembangan Islam

Walau apa pun teknologi dibangunkan dan digunakan oleh umat manusia, tidak dapat dinafikan bahwa kekuatan ilmu masih
diperlukan. Ilmulah yang membangunkan segala macam teknologi dan perkakasan yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan
manusia sama ada di dunia atau di akhirat.

Selain daripada ilmu yang baik yang dapat dimanfaatkan, ianya tidak akan sempurna tanpa amal. Amalan nilai-nilai murni yang
baik adalah selaras dengan ajaran Islam. Oleh itu nilai-nilai murni perlulah diterapkan kepada seluruh masyarakat bagi menjamin
keberkesanan IT dan dapat dimanfaatkan di dalam membantu penyebaran dan perkembangan Islam dengan lebih berkesan.

Sesuatu teknologi yang hendak dibangunkan hendaklah mengambilkira tiga perkara penting iaitu perisian (software), perkakasan
(hardware) dan manusia itu sendiri. Intergrasi ketiga-tiga unsur penting itu perlu dilihat secara bersepadu agar pembangunan
teknologi yang dilaksanakan tidak tersempang daripada ajaran agama dan kehendak tabii manusia itu sendiri.

Penggunaan IT suatu bidaah

Ada pihak-pihak tertentu mendakwa bahawa penggunaan IT adalah suatu bidaah dan orang-orang yang melakukan bidaah
akan dihumban ke dalam neraka. Walau apa pun kita harus memahami maksud bidaah. Bidaah ialah sesuatu pembaharuan atau
sesuatu yang ditambah dalam ibadat harian. Bidaah inilah yang dilarang oleh Islam. Selain daripada itu bidaah juga timbul dalam
urusan kehidupan harian. Bidaah ini adalah diharuskan dan boleh dilakukan.

Oleh hal yang demikian pembaharuan yang dilakukan dalam kehidupan seharian dengan menggunakan IT tentulah tidak
bercanggah dengan ajaran Islam dan adalah menjadi kewajipan kita mempelajari dan menguasai ilmu ini agar dapat
dimanfaatkan oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Dengan kata lain, umat Islam adalah dituntut untuk membangunkan IT
yang boleh dijadikan satu wadah baru untuk memaju, memperkembang dan menyebar maklumat tentang Islam secara global
dan bersepadu.

Peranan ibu-bapa dan kerajaan

Ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam menentukan IT dapat dimanfaatkan. Didikan ibu bapa di peringkat awal lagi
sangat penting di dalam memastikan anak-anak membesar, dan pekembangan mereka selaras dengan kehendak Islam. Contoh
tauladan yang baik akan membantu anak-anak mempunyai sikap yang betul terhadap IT dan seterusnya mereka dapat
menggunakan IT dengan cara yang bijaksana dan dapat memberi faedah yang terbaik setelah mereka meningkat dewasa.
Mereka juga perlu ditanam dengan sikap yang positif dalam mengharungi kehidupan masa depan dan mempunyai pandangan
yang betul terhadap kehidupan.

Kerajaan pula mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial yang maha besar bagi memupuk dan membentuk budaya IT yang
sesuai di dalam masyarakat. Kerajaan pelu melihat perkembangan dan kemajuan IT sebagai satu cabaran dan peluang yang
mempunyai potensi besar di dalam aspek pembangunkan ekonomi dan sosial. Langkah awal kerajaan dan pandangan jauh
pemimpin negara di dalam mewujudkan budaya IT di peringkat nasional amatlah penting serta kena pada masanya. Kempen
menyedarkan masyarakat memahami dan menghayati budaya IT yang dilancarkan baru-baru ini perlu diteruskan sehingga ke
peringkat akar umbi supay budaya IT dengan cepat dapat difahami dan menjadi amalan dalam kehidupan rakyat di negara ini.
Keruntuhan masyarakat

Akibat penggunaan IT secara tidak sihat dan tanpa kawalan yang sewajarnya, didapati masyarakat barat sedang mengahadapi
keruntuhan terutama di kalangan remaja. Masalah yang sama juga boleh berlaku di negara kita. Untuk mengelakkan hal
seumpama itu berlaku, kita perlu melihat terhadap kekuatan dan ketahanan yang ada pada diri sendiri. Hanya dengan ketahanan
diri sahaja, dapat membendung segala gejala tidak sihat daripada menyerang dan meruntuhkan masyarakat kita.

Oleh itu langkah-langkah perlu diambil segera supaya masyarakat tidak hanyut dan runtuh akibat IT seperti yang berlaku di
barat. Masyarakat haruslah dapat melihat dan membezakan isu-isu yang penting dengan isu-isu yang tidak penting, isu-isu yang
remeh dengan isu-isu yang bernas dan sebagainya.

Jika mungkin dan munasabah dilaksanakan, adalah dirasakan bahawa satu jenis penapisan ruang siber perlu dilakukan
khususnya di kalangan anak-anak di peringkat sekolah. Hasrat kerajaan untuk mewujudkan sekolah bestari (smart school) perlu
mengambil kira hal ini. Perkara ini penting kerana kita tidak mahu masyarakat kita khususnya para belia mengalami keruntuhan
akhlak sebagaimana yang berlaku ke atas masyarakat barat.

Penutup

Umat Islam sepatutnya tidak perlu gelabah dan gawat dengan perkembangan IT masa kini. Mereka juga tidak sepatutnya
mengelakkan diri daripada mempelajari dan menguasai IT. Menganggap IT sebagai suatu bidaan juga adalah sesuatu yang
malang kerana dengan pegangan demikian hanya akan terus melemahkan umat Islam. Sebaliknya mereka perlu terus berusaha
dengan gigih menguasai ilmu tersebut dan menggunakannya secara yang lebih berfaedah, lebih bermanfaat, dan seterusnya dapat
dijadikan sebagai satu sumber kekuatan bagi memajukan umah dan Islam secara keseluruhannya.

Ke Atas


Jaringan Maklumat Tanpa Sempadan
Oleh: Abd Hamid Ahmad
(Unit Perdagangan)

Sejak kebelakangan ini internet telah menjadi satu perkara amat penting dan semakin meluas penggunaannya dalam komunikasi.
Dengan menggunakan internet berbagai jenis maklumat boleh dicapai dengan mudah, bebas tanpa sekatan, dan pada bila-bila
masa sahaja. Apakah yang dimaksudkan dengan internet?

Internet ialah satu jaringan yang menghubungkan berjuta-juta komputer peribadi di seluruh dunia yang membolehkan
pengguna-penggunanya berhubung atau berinteraksi dan mengekses pelbagai maklumat dengan mudah tanpa sebarang sekatan
di seluruh pelusuk dunia yang mempunyai kemudahan jaringan itu. Dengan kata lain "maklumat adalah di hujung jari anda".

Kehadiran internet seolah-olah menjadikan dunia ini terlalu sempit dan tanpa sempadan. Apatah lagi dengan kos yang secara
relatifnya dikatakan murah, menjadikan media ini kian popular dan mampu dimiliki oleh para pelajar, guru-guru, dan sesiapa
sahaja yang berkemampuan memiliki sebuah komputer peribada dengan alat modem yang sederhana harganya. Bayaran
langganan tahunan di negara kita ialah RM24 dan bayaran penggunaan talaian telefon benilai 90 sen sejam ditambah 60 sen
sejam bagi bayaran mengekses internet tanpa mengira jarak adalah paling murah, berbanding dengan penggunaan telefon biasa.
Ini bermakna kos keseluruhan ialah RM1.50 sejam, tidaklah bagitu tinggi.

Sejak itu juga masyarakat di negara ini memperkatakan kebaikan dan keburukan penggunaan internet. Berbagai response sama
ada positif atau negatif dibincangakan di dalam media elektronik atau media bercetak. Persoalan perbincangan banyak tertumpu
kepada kesan baik dan buruk penggunaan internet terhadap masyarakat, khususnya di kalangan para remaja kita.

Berbagai bidang dijangka mengalami perkembangan pesat dengan menggunakan internet seperti perdagangan, perniagaan,
pelancungan, pendidikan, dan sebagainya. Kedua-dua pihak sama ada penjual/pemberi perkhidamatan dan pembeli/pengguna
akan menerima faedah dan kemudahan melalui penggunaan internet. Sebagai contoh para peniaga dapat mengiklankan produk/
perkhidmatan mereka melalui halaman-halaman web keseluruh dunia dengan mudah dan kos yang amat kecil. Para
pembeli/pengguna pula boleh terus memesan dengan menggunakan borang-borang pesanan yang disediakan dengan serta
merta.

Dalam bidang pendidikan pula, kursus-kursus pengajian dapat dilaksanakan dengan mennggunakan konsep pendidikan jarak
jauh (PJJ). Ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan mudah melalui penggunaan internet, cakera padat, konferans video dan
sebagainya. Dengan kosnep ini para pelajar tidak perlu menghadiri kuliah di kampus-kampus seperti apa yang berlaku
sekarang. Sebaliknya mereka boleh terus bekerja atau berada di rumah dan dapat belajar mengikut kesesuaian masa sendiri.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran begini jika digunakan secara meluas dan di tahap kapisiti maksimum dijangka dapat
mengurangkan kos. Ianya juga dapat dimanfaat oleh sesiapa sahaja yang memerlukan pendidikan secara terbuka. Beberapa
buah institusi pengajian tinggi umpamanya Universit Sains Malaysia, Universiti Telekom Malaysia dan lain-lain sedang dan akan
mengadakan pengajian jarak jauh. Universiti Telekom Malaysia umpamanya akan mengadakan Pendidikan Jarak Jauh di
peringkat Ijazah Sarjana dan PhD. pada sesi pengajian tahun 1998 dalam bidang-bidang Teknologi Maklumat dan Pengurusan
Perniagaan.

Jika masyarakat kita secara keseluruhannya mempunyai fikiran dan pandangan yang positif terhadap penggunaan internet, kita
percaya media ini akan dapat digunakan dengan cara yang terbaik dan berfaedah. Oleh itu terpulanglah kepada kita sama ada
dapat menggunakan media ini dengan cara yang berfaedah atau sebaliknya. Jika digunakan dengan bijaksana pasti ianya akan
memberi kebaikan kepada kita semua. Moga-moga internet tidak disalahgunakan dan terhindarlah kita daripada segala
keburukan, kecelakaan dan bala bencana yang mungkin menimpa kita.

Ke Atas


Ke Laman Utama